Terdapat pelbagai jenis mesyuarat yang dikendalikan di sesebuah pertubuhan. Antaranya ialah :
MESYUARAT JAWATANKUASA
- Setiap mesyuarat jawatankuasa dikendalikan mengikut tatacara yang ditetapkan dan sebarang perubahan yang mungkin berlaku bergantung kepada budi bicara pengerusi.
- Surat pemberitahuan memanggil mesyuarat perlulah dikirimkan kepada ahli yang terlibat, selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh mesyuarat berkenaan.
- Satu salinan agenda (atur cara perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam sesuatu mesyuarat) hendaklah dikirimkan kepada semua ahli selewat-lewatnya 24 jam sebelum mesyuarat diadakan. Lazimnya agenda dimasukkan ke dalam surat pemberitahuan mesyuarat. Tujuan agenda ini disediakan adalah untuk memberitahu kesempatan kepada ahli-ahli menelitinya dan mungkin membincangkannya dengan pihak yang diwakili dalam mesyuarat yang akan datang.
- Pengerusi perlu mempunyai pengetahuan yang lengkap tentang agenda (hal-hal yang akan dibincangkan dalam mesyuarat) dan jangan terlalu bergantung pada setiausaha untuk membantunya.
- Pengerusi hendaklah sentiasa menguasai mesyuarat dengan memastikan tiada sesiapa yang menyeleweng daripada pokok perbincangan dan setiap ahli yang hendak berucap perlu melalui beliau.
- Sesuatu usul rasmi jawatankuasa kecil perlu diluluskan dalam mesyuarat berkenaan. Tujuan usul dikemukakan adalah untuk menjelaskannya dalam satu ayat yang padat dan mudah supaya tidak timbul salah faham kemudiannya.
MESYUARAT AGUNG
- Mesyuarat agung lazimnya diadakan sekali setahun. Tujuannya adalah untuk membentangkan aktiviti tahun lalu, meluluskan penyata kira-kira, merancang kegiatan tahun hadapan, memilih ahli-ahli jawatankuasa kerja yang baru dan meluluskan cadangan-cadangan yang dikemukakan.
- Semua pemberitahuan/notis mesyuarat agung hendaklah dihantar kepada semua ahli, iaitu 14 hari sebelum mesyuarat diadakan.
- Agenda mesyuarat agung tahunan juga dikirimkan bersama-sama surat pemberitahuan/jemputan untuk menghadiri mesyuarat tersebut
- Sebarang usul jika ada perlu dihantar kepada setiausaha 7 hari sebelum mesyuarat diadakan.
- Setiausaha dan penolong setiausaha laporan minit mesyuarat agung dan semua laporan aktiviti persatuan/organisasi sepanjang tahun.
- Bendahari juga dikehendaki menyediakan laporan kewangan untuk dibentangkan dalam mesyuarat agung kelak.
MESYUARAT AGUNG LUAR BIASA
- Mesyuarat ini diadakan kerana keperluan yang mendesak daripada ahli-ahli yang mahukan pertukaran jawatan semua ahli jawatankuasa induk, perubahan perlembagaan persatuan secara mendadak, penyelesaian masalah kewangan yang mendesak atau hilang kepercayaan seluruh ahli jawatankuasa yang lama.
MESYUARAT KHAS
- Mesyuarat ini diadakan untuk membincangkan sesuatu isu penting yang dibangkitkan semasa mesyuarat jawatankuasa diadakan. Misalnya, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Tahunan Sekolah telah memutuskan untuk mempercepat tarikh majlis tersebut lalu setiausaha diarahkan oleh pengerusi memanggil mesyuarat khas.
MESYUARAT TERGEMPAR
- Mesyuarat ini diadakan untuk membincangkan sesuatu isu dan memerlukan kata putus segera daripada ahli-ahli jawatankuasa. Misalnya, melucutkan keahlian anggota yang melanggar disiplin atau mencemarkan nama baik persatuan atau organisasi.