FIRMAN ALLAH SWT

“DAN BERMESYUARAT DENGAN MEREKA DALAM URUSAN ITU DAN APABILA ENGKAU TELAH BERAZAM, MAKA BERTAKWALAH KEPADA ALLAH.”

(AYAT 159, SURAH AL-IMRAN)


Jumaat, 2 Februari 2018

MAJLIS SYURA

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". [Al Ahzab:33.21]


Pada zaman Rasulullah dan khulafah Al-Rasyidin, Majlis syura diwujudkan untuk membantu sistem pentadbiran pada zaman itu.


Perkataan Syura berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud mesyuarat.

Dari istilah tersebut syura membawa maksud permesyuaratan dalam segala hal berkaitan dengan kepentingan dan kebajikan berdasarkan keimanan dan ketakwaan.

Perintah melaksanakan syura di dalam setiap urusan politik dan pemerintahan telah disebutkan oleh Allah melalui ayat :
“Dan bermesyuaratlah kamu dengan mereka dalam urusan ( peperangan dan hal keduniaan ) itu, kemudian apabila engkau telah berazam ( sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu ) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” ( QS, 3 : 159 ).

Majlis syura bertujuan untuk mengambil satu keputusan bersama dalam semua peringkat kehidupan manusia daripada yang paling tinggi seumpama urusan pemerintahan negara hinggalah kumpulan yang paling kecil iaitu urusan keluarga. 

Antara contoh peristiwa yang berlaku ialah :
  1. Baginda bermusyawarah bersama tentera Islam dalam peperangan Uhud yang mana baginda berunding dengan para sahabatnya mengenai strategi peperangan yang terbaik sama ada bertahan di Madinah atau keluar menyerang. Dan pandangan tersebut mendapat pandangan majoriti yang mengatakan keluar menyerang lebih baik dari bertahan. Walaupun pendapat tersebut tidak dipersetujui oleh Nabi Muhammad S.A.W dan beberapa orang sahabat baginda, baginda tetap mengikut pendapat majoriti dan keluar menuju ke tempat peperangan (al-Mubarakfuri, 2007 : 289-290 ).
  2. Mengenai perang Khandaq, Baginda melemparkan pendapat kepada orang ramai tentang perkara yang terbaik adalah berdamai dengan musuh, dan musuh perlu membayar satu pertiga (1/3) dari hasil tanaman buah tamar Madinah pada tahun tersebut. Pendapat Nabi Muhammad S.A.W tidak dipersetujui oleh dua orang sahabat baginda iaitu Sa‘ad bin Mu‘az dan Sa‘ad bin ‘Ubadah (al-Ya‘mur, t.th : 84-117 ).
Menurut al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah merumuskan Ahli Majlis Syura itu mempunyai keadilan, berilmu pengetahuan, kecerdasan dan bijaksana.

Mereka bermesyuarat dalam menyelesaikan apa sahaja dengan rujukan al Quran dan pandangan serta pendapat Nabi Muhammad S.A.W. 

Dari sini dapat dirumuskan bahawa Majlis Syura merupakan satu kabinet jemaah menteri yang terdiri dari kalangan masyarakat Madinah bagi membantu pemimpin dalam pemberian pendapat atau pandangan.

Antara bentuk mesyuarat yang digunakan oleh Rasulullah dengan para sahabat ialah :
  • Terima pandangan pakar

Dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW telah memilih suatu tempat yang paling dekat dengan air. Seorang Sahabat bernama Al Hubab bin Munzir (pakar peperangan) mencadangkan agar semua perigi yang ada di mana-mana tempat lain di sekitar tempat itu di timbus dan airnya dialirkan ke satu kolam yang dikuasai oleh kaum Muslimin. Rasulullah menerima cadangan itu dan berpindah ke tempat yang diusulkan oleh Al Hubab.
  • Meraikan pandangan dan pendapat para sahabat.
Rasulullah SAW sering meminta pandangan para sahabat, termasuk dalam hal-hal penting. Antaranya ketika baginda menanyakan pandangan para sahabat mengenai bentuk seruan untuk mengajak kaum Muslimin mengerjakan solat berjemaah.
Dalam sebuah hadis :
عن عبدالله بن عمر أنه قال كان المسلمون حين قدموا المدينة يجتمعون فيتحينون الصلوات وليس ينادى بها أحد فيتكلموا يوما فى ذلك فقال بعضهم اتخذوا ناقوسا مثل ناقوس النصارى وقال بعضهم قرنا مثل قرن اليهود فقال عمر أولا تبعثون رجلا ينادى بالصلاة قال رسول الله (ص) يا بلال قم فناد بالصلاة 
Maksudnya : Daripada Abdullah bin Umar r.a katanya, tatkala kaum muslimin belum beberapa lama tiba di Madinah, mereka berkumpul bersama-sama untuk solat. Mereka hanya kira-kirakan sahaja kalau waktu solat telah tiba, kerana belum ada suatu cara untuk memanggil orang ramai berkumpul ke tempat solat. Maka pada satu hari mereka bermesyuarat membicarakan hal itu. Sesetengah mereka mengusulkan : Ambillah naqus (loceng) seperti naqus orang-orang Nasrani (Kristian)." Berkata sebahagian yang lain pula: "(Ambillah) trompet seperti trompet orang-orang Yahudi." Lalu berkata ‘Umar: "Tidakkah kamu melantik seorang lelaki untuk menyerukan sembahyang?" Bersabda Rasulullah ﷺ: "Wahai Bilal, berdirilah dan serulah untuk sembahyang." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  • Mesyuarat tidak rasmi.
Mesyuarat Rasulullah dibuat secara rasmi dan tidak rasmi. Secara tidak rasmi, Rasulullah sering berbincang dengan sahabat-sahabat sewaktu dalam perjalanan atau ketika di masjid. Satu ketika baginda diberitahu bahawa para pekebun tamar yang tidak melakukan debunga pohon tamar, mengalami kemerosotan hasil. Sedangkan sebelum itu baginda sendiri pernah mengusulkan agar tidak dilakukan debunga. Bila mendengar hal itu, Rasulullah terus menyuruh mereka meneruskan amalan pendebungaan seperti biasa mereka lakukan. Sabda baginda, "Kalian lebih tahu tentang perkara dunia kalian (berkaitan dengan tanaman tamar)" (HR Bukhari) .
  • Tidak ubah keputusan mesyuarat
Rasulullah tidak pernah mengubah keputusan mesyuarat. Sesuatu yang telah diputuskan di dalam mesyuarat, tidak pernah diungkai oleh baginda. Sebelum perang Badar, Rasulullah SAW dan para sahabat telah bermesyuarat untuk memutuskan sama ada mereka akan menentang kaum musyrikin di dalam atau di luar kota Madinah. Berlaku pro dan kontra. Rasulullah sendiri berpandangan, mereka harus bertahan di dalam kota. Tetapi akhirnya, demi menghargai pandangan para sahabat, baginda memutuskaan bahawa mereka perlu menyekat kemaraan musuh di luar kota.Bila tiba waktu untuk bertindak dan Rasulullah telah bersiap sedia untuk keluar, ada sahabat yang ragu-ragu telah menanyakan kalau-kalau baginda lebih suka berpegang pada pandangan awalnya.

Tetapi Rasulullah SAW terus bersabda: "Saya telah bawa tuan-tuan dalam soal ini (bertahan di dalam kota) tetapi tuan-tuan tidak mahu. Tidaklah selayaknya sebagai seorang nabi apabila ia telah memakai senjatanya untuk diletakkannya kembali sampai Allah memberi ketentuan kepadanya antara ia dan musuh-musuhnya."

Asas Penerimaan Pendapat dalam Mesyuarat

Rasulullah ﷺ bersabda bermaksud: “Orang yang diminta pendapatnya itu adalah orang yang dipercayai.” (Riwayat Abu Dawud)

Maka atas prinsip dipercayai atau berkelayakan itu, sesuatu pendapat itu diterima. Suluhan dan pertimbangannya adalah wahyu. Setelah bermesyuarat, turunlah wahyu, menyatakan kebenaran pendapat tersebut, lalu Rasulullah ﷺ menyatakan keputusannya. 

Benarlah firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحۡمَةٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡ‌ۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَ‌ۖ فَٱعۡفُ عَنۡہُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِى ٱلۡأَمۡرِ‌ۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (A-li'Imraan 3:159)